Friday 14 December 2007

Karangan SUSUIBU..ni aku nye cite leee...

"Penyusuan Ibu… suatu pengalaman"

Pengalaman Pertama

Pengalaman pertama dan anak pertama, begitulah segala-galanya bermula. Memulakan sesuatu tindakan memerlukan perancangan yang teliti, tetapi tidaklah keterlaluan sehingga setiap perkara harus diperhalusi. Apa yang utama ialah memulakannya dengan niat yang betul. Menyusukan bayi saya dengan susuan saya sendiri adalah satu pengalaman yang tidak ternilai. Saya bersyukur kerana telah berjaya melakukannya sejak dari hari pertama bayi dilahirkan. Pada peringkat enam bulan yang pertama, bayi hanya menerima susu ibu sepenuhnya, tanpa sebarang tambahan dari susu formula mahupun makanan-makanan tambahan. Selepas bulan yang ke-enam, baharulah makanan tambahan diberikan secara berperingkat-peringkat, namum susu ibu tetap menjadi sumber pemakanan utama bayi. Kini setelah lebih dua tahun, walaupun sudah boleh makan hampir pelbagai jenis makanan, anak saya tetap mahu menyusu (susu ibu), tetapi bukan lagi sebagai sumber khasiat utama, hanya sekadar sumber tambahan sahaja.

Susu ibu adalah makanan yang terbaik untuk bayi berusia dibawah dua tahun. Itulah yang telah saya pelajari menerusi pembacaan dan kajian ringkas yang saya lakukan sendiri. Pelbagai maklumat yang saya perolehi menerusi buku, majalah, mahupun internet menjurus pada kesimpulan yang sama. Tambahan pula beberapa ceramah persedian keibu-bapaan yang pernah saya hadiri turut menggalakkan agar diberi penekanan pada susu ibu. Sejenak, terfikir juga saya bahawa sebelum wujudnya susu formula sudah semestinya ibu-ibu memberi susu ibu pada bayi mereka. Seperkara lain yang saya temui dalam pembacaan saya adalah asal usul susu formula adalah sebagai gantian bagi ibu-ibu yang tidak dapat menyusukan bayi mereka kerana pelbagai masalah kesihatan. Pun begitu susu formula bukanlah satu ‘alternative’ yang lebih baik dari susu ibu. Sedangkan lembu memberikan anaknya dengan susunya sendiri, mengapa tidak manusia yang seharusnya lebih bijak membuat keputusan. Kekerapan penyusuan diwaktu malam adalah penting untuk penghasilan susu ibu. Semakin kerap bayi menyusu di waktu malam semakin bertambah susu ibu.


Tidak bekerja merupakan satu bonus untuk menyusukan bayi saya secara terus. Saya tidak perlu berfikir pada pukul berapa bayi saya harus di beri susu, ataupun perlukah sentiasa menyediakan air panas untuk membancuh susu. Menyusukan bayi secara terus memudahkan dan selesa. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa, malahan saya dapat menyusukan bayi saya, mengikut kemahuannya atau disebut ‘on demand’. Segala kerja rumah tidak mengganggu waktu penyusuan. Memasak sebagai contoh, tidaklah dilakukan sepanjang hari. Secara purata memasak dan mengemas rumah mengambil masa beberapa jam sahaja. Masa-masa yang selebihnya boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti lain. Masa-masa seperti itulah yang dapat dipergunakan sepenuhnya oleh surirumah untuk turut serta menyusukan bayi.

Mudah di mana sahaja. Menyusukan bayi dengan susu ibu adalah sesuatu yang mudah dalam apa jua keadaan, terutama dalam perjalanan dan juga di tempat-tempat awam.Bagi saya, penyusuan susu ibu menjadikan sesuatu perjalanan lebih senang. Saya tidak perlu membawa segala kelengkapan untuk membancuh susu seperti thermos, tin susu, botol susu mahupun kelengkapan untuk menyimpan susu tersebut supaya sentiasa dalam keadaan panas.Begitu juga jika dalam penerbangan mahupun feri. Menyusu di tempat awam bukanlah satu kesalahan, bagi saya itu adalah keperluan makanan bayi kita, bila-bila masa dan di mana jua kita boleh memberikan susu ibu. Disesetengah komplek membeli-belah, terdapat ‘baby room’ atau ‘parent room’, tempat disediakan untuk ibu-ibu yang mahu menyusukan bayi mereka dalam keadaan tenang dan tertutup. Jika tiada tempat begitu, saya masih dapat menyusukan bayi saya di tempat awam dengan menggunakan ‘nursing cover’.

Ibu yang menyusukan bayi dengan susu ibu perlu mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat. Saya sentiasa memastikan menu saya seimbang dan berkhasiat untuk diri saya dan juga bayi saya yang menyusu susuan saya. Segala makanan mahupun minuman yang saya rasakan akan menjejaskan kualiti susu saya, perlu saya elakkan seperti Nescafe dan juga sebarang makanan yang mengandungi kafein. Disamping itu, ‘supplement’ seperti kalsium dan multivitamin amat penting bagi saya, untuk menampung segala vitamin yang tidak mencukupi dalam diet harian saya. Bagi saya, pemakanan seimbang ibu mengandung amat penting dalam membantu menghasilkan kualiti susu yang baik dan juga membantu tumbesaran bayi yang menyusu dengan susu ibu.

Kegembiraan dan kepuasaan apabila berjaya menyusukan bayi dengan susu ibu sahaja adalah sesuatu yang tidak dapat digambarkan. Saya berasa bangga dengan pencapaian saya dan juga ibu-ibu lain yang telah berjaya menyempurnakan penyusuan susu ibu sehingga dua tahun. Ia adalah satu dorongan untuk ibu-ibu baru menyusukan bayi mereka. Hanya mereka yang menyusukan bayi dengan susu ibu mengetahui perassan tersebut.

Mengharungi Cabaran

Menyusukan bayi dengan susu ibu mempunyai pelbagai cabaran dan rintangan terutama dikalangan masyarakat kita yang terlalu percaya pada kebaikkan susu formula seperti yang digembar-gemburkan oleh iklan.

Cabaran pertama adalah dari keluarga saya. Mereka pada mulanya tidak begitu yakin saya mampu untuk menyusukan bayi saya dengan susu ibu sahaja tanpa bantuan susu formula. Susu formula disediakan untuk bayi saya, ini adalah cabaran saya. Saya perlu tegas yakinkan diri saya bahawa saya mampu melakukannya. Dengan segala penerangan mengenai kebaikkan susu ibu dan juga ketegasan saya pada mereka, akhirnya mereka dapat menerima pendirian saya setelah melihat bayi saya sihat dan aktif dengan hanya menyusu susu saya sahaja.

Cabaran kedua adalah masyarakat kita. Ramai yang berasa keberatan menyusukan bayi mereka di tempat awam. Pelbagai cara boleh dia dilakukan dalam menghadapi situasi tersebut, seperti menggunakan kemudahan ‘baby room’ dan juga mengunakan ‘nursing cover’ apabila menyusu di tempat terbuka. Saya juga tidak perlu mengambil kira apa pandangan mereka yang melihat saya menyusukan bayi saya sehingga kini (anak saya berusia dua tahun lima bulan) kerana itu bukan satu yang salah disisi Agama mahupun Negara. Tiada kesalahan untuk ibu-ibu menyusukan bayi di tempat awam dan terdapat kemudahan yang boleh digunakan untuk menyusukan bayi mereka.

Sokongan Inspirasi

Inspirasi dan sokongan amat penting dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Pertama sekali adalah dari dalam diri saya sendiri untuk memberikan yang terbaik pada bayi saya. Saya berazam untuk melihat bayi saya membesar sihat dan cegas dengan memberikan nya susu yang terbaik iaitu susu ibu. Pendorong dan penyokong yang utama dalam menjayakan penyusuan susu ibu adalah suami saya. Dia adalah penguat semangat untuk saya menyusukan bayi kami dengan susu ibu. Sokongan dari ahli keluarga terdekat adalah penting dalam menjayakan penyusuan susu ibu.
####################
aku ni dah berzaman tak tulis karangan formal..ni le aku wat tu pun ngan pertolongan hubby aku le...kalau tak hancus bahasa aku tulis..hehheh

6 comments:

Fid said...

aku tak leh la nak mengarang.....mmg jd merapu meraban la

Anonymous said...

waaa...cayalahhh...

tapi ada typo error sket....
hehehe...jadi cikgu kejap...
bukan senang nk tengok kak za buat karangan neh... :)
good job...

Rizza said...

hehheh tak kisah le...
aku ni sok mo tulis ade typing error...

heheeh
tq

cysev3n said...

aku ada gak hantar smalam.. ntah pape je BM aku tu.. nasib2 laa.. kalau ada rezeki, lepas.. kalau tak, hampas le.. yahahaha..

Rizza said...

yan..tu le hentam keromo je aku...hancus ooo BM aku..apa lagi BI ...

Anonymous said...

heheh ok ler tu ayatnyer..kang skema sgt boring lak baca..
anyway tahniah...rizza juga salah salah sumber inspirasi saya utk terus susukan anak tanpa tambahn susu formula..selain drpd fid.