Sunday 7 September 2008

Teknik.....SUSUIBU

Teknik beri susu badan
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

APABILA orang bercerita pengalaman memberi susu badan kepada anak, hatinya sedih dan pedih kerana perkara itu sukar bagi Hashimah Ahmad, 36 (bukan nama sebenar). Anak pertamanya hanya beberapa kali dapat diberikan susu badan, itu pun dalam keadaan serba payah.

Anak keduanya pula langsung tidak pernah merasa susu badannya sehingga masuk minggu kedua apabila si kecil dirujukkan ke sebuah pusat perubatan swasta akibat masalah jantung kronik yang dialaminya sejak lahir.

Masalahnya dikesan secara tidak sengaja apabila jururawat mempersoal tindakan Hashimah memberi susu formula kepada bayi yang baru berusia 14 hari.

Rupa-rupanya Hashimah mengalami masalah puting terbenam sejak lahir. Katanya, sejak hamil anak pertama lagi dia bertanya jururawat di klinik perbidanan di kampungnya, tetapi jawapan diterima sangat mengecewakan kerana dia hanya disuruh ‘mengurut’ payu daranya.

Apabila hamil anak kedua, sekali lagi dia memberitahu masalahnya kepada jururawat di hospital. Sekali lagi, dia disuruh ‘urut’ saja. Masalahnya, cara untuk mengurut tidak pula diberitahu. Puas ditekan-tekan, namun puting payu daranya tetap tidak keluar.

“Tiga empat hari selepas bersalin, buah dada saya bengkak, sangat sakit dan terasa seperti hendak demam. Setiap kali sakit, saya lap dengan tuala basah untuk hilangkan kesakitan. Ada susu, tetapi tidak boleh diberi pada anak. Dua tiga hari kemudian baru sakit itu hilang.

“Sekarang baru saya tahu rupa-rupanya ada alat yang boleh membantu mengatasi masalah ini. Cuma masalahnya sekarang saya ada kencing manis dan tekanan darah tinggi, dan dinasihatkan supaya tidak menyusukan bayi,” katanya.

Mungkin tidak ramai mengalami masalah seperti Hashimah. Dalam kebanyakan kes, si ibu memilih untuk berhenti memberi susu badan kepada bayi mereka selepas beberapa minggu atau dua tiga bulan dengan alasan ‘tiada susu’.

Bagaimanapun, Pendidik Laktasi Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Lee Ah Chai, berkata alasan itu tidak boleh diterima kerana susu badan terus dihasilkan selagi ada permintaan. Maknanya selagi anak menyusu, badan seseorang wanita akan terus menghasilkan susu walaupun anak berumur lima atau enam tahun!

“Apabila kandungan memasuki minggu ke-34, semua wanita perlu mula belajar teknik penyusuan kerana jika menghadapi masalah, termasuk kes puting terbenam, ia boleh dikesan dan diatasi lebih awal.

“Wanita juga perlu tahu beberapa posisi untuk memudahkan mereka menyusukan anak kerana jika dalam keadaan tidak selesa, bayi bukan saja tidak mahu menghisap susu, malah boleh menyebabkan si ibu mengalami masalah sakit pinggang,” katanya sempena minggu Penyusuan Bayi bermula 1 hingga 8 Ogos ini.

Antara masalah biasa dialami wanita untuk menyusukan anak ialah:

Puting terbenam.

Dalam sesetengah kes, perkara ini tidak akan menjejaskan penyusuan, terutama jika bayi boleh memasukkan seluruh bahagian areola (kawasan berwarna di sekeliling puting) kerana di sinilah terletaknya duktus susu.

Bagaimanapun dalam kes teruk, bayi mungkin tidak dapat menyusu. Bagaimana untuk mengetahui jika anda mengalami masalah ini?

Caranya mudah, picit bahagian areola (kira-kira 2.5 sentimeter atau satu inci dari puting) perlahan-lahan. Jika puting keluar, bermakna anda hanya perlu memberi rangsangan sebelum menyusukan anak.

Sebaliknya jika puting tidak keluar, anda mungkin mengalami masalah ini. Beberapa cara boleh digunakan untuk merangsang puting keluar seperti menggunakan pam khas dipanggil nipplet.

Alat ini perlu diletakkan di atas bahagian puting dan tarik pam perlahan-lahan diikuti urutan untuk melembutkan puting. Kaedah ini perlu dilakukan setiap kali sebelum menyusukan bayi.

Selain itu, mereka boleh memberi rangsangan kepada puting dengan memicit bahagian areola setiap kali ketika mandi. Buat selama satu dua minit. Pada masa sama letakkan kain lembap atau disejukkan dengan ais untuk meningkatkan rangsangan. Kaedah ini boleh mengatasi masalah puting terbenam secara perlahan-lahan dan wanita tidak perlu lagi bergantung kepada nipplet.

Wanita juga boleh menggunakan pam payu dara untuk merangsang puting sejurus sebelum menyusukan anak. Ia bukan saja dapat mengelak masalah pengumpulan terlalu banyak susu, malah memudahkan bayi menyusu.

Puting terasa sakit dan rengsa

Wanita yang ada masalah puting terbenam mudah mengalami kerengsaan puting. Anda akan berasa tidak selesa apabila puting ‘tertarik’ ketika bayi menyusu. Selain itu jika puting terbenam balik ketika penyusuan, ia memerangkap kelembapan dan boleh menyebabkan puting merekah. Bagi individu yang ada masalah ini, lap puting hingga kering selepas selesai menyusukan bayi.

Cara bayi menyusu yang tidak betul juga boleh menyebabkan puting terasa sakit. Usik mulut bayi dengan puting supaya mulutnya terbuka cukup besar untuk menyusu dan menghisap hingga ke bahagian areola dan bukan di puting saja. Jika anda berasa selesa dan tidak sakit, bermakna kaedah digunakan adalah betul.

Beri anak susu dari sebelah payu dara untuk satu-satu masa (masa penyusuan antara 20 hingga 30 minit) dan ganti dengan sebelah lagi untuk penyusuan seterusnya. Ini kerana susu badan terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama mengandungi vitamin dan mineral, manakala bahagian kedua (juga dipanggil susu belakang) pula kaya lemak. Jadi menyusu anak dari payu dara sama, bermakna anda memberi susu yang banyak lemak kepadanya dan dia tidak mendapat vitamin serta mineral.

Payu dara bengkak dan sakit

Jika baru melahirkan anak, masalah ini mungkin disebabkan tisu pada payu dara membengkak dan mengandungi banyak susu. Biasanya selepas beberapa bulan masalah ini disebabkan terlalu banyak susu. Untuk mengelak perkara ini, susu anak setiap dua hingga tiga jam.

Sesetengah wanita mungkin mengalami kenaikan suhu badan yang menyebabkan mereka terasa seperti hampir demam. Jika anda mula bekerja, masalah ini boleh dielak dengan mengepam susu supaya ia boleh disimpan dan diberi kepada anak ketika anda tiada di rumah.

Jika terasa sakit, letak pek sejuk untuk mengurangkan kesakitan. Jika mahu gunakan pek panas juga boleh, tetapi dalam tempoh singkat kerana kepanasan boleh menyebabkan tisu menjadi lebih bengkak. Urut payu dara perlahan-lahan sebelum menyusukan anak boleh melancarkan aliran susu dan melembutkan payu dara.

Benjolan lembut pada payu dara.

Biasanya ia disebabkan duktus yang mengalirkan susu tersumbat atau tersekat akibat kehadiran sel kulit atau susu. Apabila duktus ini penuh dan kembang, tisu payu dara yang berhampiran menjadi lembut. Antara tanda yang boleh dilihat ialah benjolan merah pada payu dara. Jika perkara ini berlarutan, bengkak menjadi bertambah besar.

Cara untuk mengatasinya ialah menyusu anak dengan kerap mengikut keperluannya. Mulakan penyusuan dengan payu dara yang alami bengkak dengan meletakkan bayi (pastikan hidungnya terkena payu dara anda) berhampiran bahagian bengkak. Cara ini dikatakan dapat melancarkan pengeluaran susu badan.

Jika masalah bengkak berulang pada payu dara sama, tukar posisi penyusuan dan elak memakai pakaian yang banyak memberi tekanan pada payu dara, termasuk baju dalam yang ada besi penyokong. Selain itu, urutan boleh mengurangkan masalah ini.

Pada masa sama, wanita perlu belajar beberapa posisi menyusukan bayi sama ada dengan mendakap anak (sambil duduk) atau menggunakan alat bantuan seperti bantal penyokong bagi mengelak si ibu mengalami masalah sakit pinggang. Untuk mengetahui lebih lanjut posisi penyusuan ini, sila hubungi Klinik Laktasi di talian 03-42571300 sambungan 7266 atau 1801.

Fakta penting penyusuan bayi:
  • Menyusu bayi akan mempercepatkan wanita mendapatkan kembali bentuk badan asal
  • Mengurangkan risiko kanser ovari dan payu dara
  • Antara kaedah merancang keluarga dengan menjarakkan kehamilan (jika penyusuan secara eksklusif selama enam bulan)
  • Menjimatkan belanja dan tidak akan ada masalah pembaziran kerana susu hanya dikeluarkan apabila anak menyusu
  • Boleh diberi bila-bila masa dan susu ibu sangat steril (bebas kuman)
  • Susu ibu berkualiti tinggi tanpa mengira corak pemakanan ibu
  • Mengurangkan risiko bayi mendapat demam kuning
  • Risiko bayi mengalami masalah cirit-birit juga kurang
  • Melancarkan sistem pengkumuhan bayi

artikel dari Harian Metro

2 comments:

Ms Lola said...

Aku harap aku ingat lagi la tips-tips ni bila smpi masa nanti. ;)

Rizza said...

mimi ..aku pun hopefully bile sampai masa nanti ingat kan diri..tu yg copy paste sini.. kang esok2 nak cari mana nak jumpa lak