Sunday 7 September 2008

gigi....

Bayi kena gosok gigi

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

ANTARA perkara yang menggembirakan ibu bapa ialah melihat gigi pertama anak kesayangan mereka tumbuh. Dalam kegembiraan itu, ramai ibu bapa terlupa atau tidak tahu bahawa tanggungjawab menjaga gigi si kecil sudah bermula.

Caranya mudah, iaitu membersih gigi dengan sehelai kain lembut yang dilembapkan setiap kali selepas disusu. Mungkin ada yang bertanya, adakah perkara ini perlu kerana gigi si kecil hanya ada sebatang, itu pun baru nampak seperti satu garisan halus.

Jawapannya perlu. Ia penting untuk memupuk tabiat menjaga kebersihan gigi sejak anak masih kecil, iaitu setiap kali selepas makan atau minum susu. Malah, ada doktor gigi berpendapat, ia boleh dilakukan lebih awal sebelum tumbuh gigi bagi membiasakan anak dengan amalan ini.

Apabila gigi susu lain tumbuh, guna berus gigi kanak-kanak yang lembut dan gosok perlahan-lahan pada gigi bayi. Amalan masyarakat kita memberi anak menyusu botol supaya mudah tidur sebenarnya boleh menyebabkan masalah kaviti botol susu (gigi susu berlubang).

Untuk mengelakkannya, ibu harus mengatur jadual pemberian susu supaya tidak terlalu dekat dengan waktu tidur. Sebaliknya, isi botol dengan air sejuk (atau suam kuku) pada waktu tidur untuk menjaga kesihatan gigi susu yang baru tumbuh.

Ramai ibu bapa silap faham mengenai kepentingan gigi susu kerana berpendapat ia hanya gigi sementara yang akan diganti dengan gigi kekal. Memang gigi susu akan tanggal apabila anak berumur antara empat hingga enam tahun, tetapi ia mempunyai fungsi penting.

Gigi susu menyediakan ruang dan menjadi panduan gigi kekal tumbuh dengan lurus serta teratur. Jika gigi susu tanggal terlalu awal, gigi kekal juga tumbuh lebih awal untuk mengisi ruang yang dikosongkan gigi susu.

Oleh kerana rahang belum berkembang sepenuhnya untuk pertumbuhan gigi kekal, gigi akan tumbuh dalam kedudukan senget. Ini sebabnya kita dapati kanak-kanak yang mengalami masalah kerosakan gigi susu mempunyai susunan gigi kekal yang tidak teratur.

Masalah ini berlaku kerana kebanyakan ibu bapa kurang memberi penekanan terhadap kepentingan dan teknik memberus gigi dengan betul sehingga anak mencecah umur enam atau tujuh tahun.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Mulut, Datin Norain Abu Talib, kajian epidemiologi kesihatan gigi pertama ke atas kanak-kanak pra sekolah pada 1995 mendapati sembilan daripada 10 kanak-kanak mengalami masalah pereputan gigi sebelum berumur lima tahun.

“Kajian epidemiologi kedua pada 2005 ke atas 16,192 kanak-kanak menunjukkan 76.2 peratus mengalami karies gigi; 55.8 peratus mempunyai tiga atau lebih gigi reput dan 25.3 peratus lagi mengalami lebih 10 batang gigi rosak.

“Pada pemeriksaan gigi tahunan 2006 dan 2007 ke atas pelajar sekolah mendapati, lebih 97 peratus kanak-kanak berumur 12 tahun dan 94 peratus pelajar 16 tahun mempunyai gusi sihat.

“Pada 2006 sebanyak 33.8 peratus kanak-kanak tahun satu dan 58.1 peratus (tahun enam) bebas daripada masalah gigi reput; dan jumlah ini meningkat kepada 61 peratus (bagi kanak-kanak tahun enam) tahun lalu,” katanya pada pelancaran kempen Bulan Kesihatan Gigi dengan tema Kaviti Sifar untuk Senyuman Lebih sihat.

Kempen kali ini memberi tumpuan kepada kesihatan gigi kanak-kanak dan keluarga mereka. Sehubungan itu lebih 1,200 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga sembilan tahun mengambil bahagian dalam acara berus gigi beramai-ramai untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan gigi. Pada majlis sama kanak-kanak diajar cara memberus gigi yang betul.

Pemangku Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr S Sivanesan, berkata kesihatan gigi anak-anak tidak boleh diabaikan kerana tabiat penjagaan gigi dan kebersihan mulut akan berpanjangan sehingga dewasa.

“Kerosakan gigi adalah wabak senyap yang bukan saja boleh memberi kesan negatif kepada keyakinan diri seseorang kanak-kanak, bahkan menjejaskan perkembangan pertuturan selain masalah makan dan belajar.

“Masalah gigi yang biasa berlaku pada kanak-kanak ialah kaviti (gigi berlubang) dan gingivitis (keradangan gusi). Masalah ini juga banyak dialami orang dewasa. Jika tidak dikesan dan dirawat awal, ia boleh menyebabkan gusi bengkak, bernanah dan merosakkan saraf pada hujung akar gigi.

“Pengabaian penjagaan kesihatan gigi boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang disebabkan kesakitan, masalah makan dan kurang yakin untuk bersosial, terutama apabila meningkat dewasa,” katanya.

Kesihatan gigi sebenarnya berkait rapat dengan kesihatan badan secara keseluruhan. Kajian membuktikan kerosakan gigi yang teruk ada kaitan rapat dengan penyakit jantung. Malah, kerap berlaku masalah bakteremia iaitu kehadiran bakteria dalam darah yang berpunca daripada jangkitan di mulut.

Ada empat langkah mudah untuk memastikan gigi sentiasa sihat iaitu memberus gigi menggunakan ubat gigi berflourida, diikuti flos dan berkumur dengan cecair kumur; serta dapatkan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Justeru, sempena Bulan Kesihatan Gigi sepanjang April ini, jangan lepaskan peluang mendapatkan pemeriksaan gigi percuma di empat gedung beli-belah iaitu Jusco One Utama, Kuala Lumpur (1 hingga 6 April), Jusco Tebrau City, Johor Bahru (8 hingga 13 April), Sunshine Square, Pulau Pinang (18 hingga 20 April) dan Pasaraya Besar Mydin Kuala Terengganu pada 24 hingga 26 April.

Kempen Bulan Kesihatan Gigi kali kelima anjuran bersama Colgate-Palmolive Mayalsia Sdn Bhd dan MDA ini turut disertai 519 klinik pergigian swasta di seluruh negara yang menawarkan pemeriksaan gigi secara percuma. Untuk mengetahui klinik gigi yang berdekatan tempat tinggal anda, sila layari laman web www.colgate.com.my atau http://www.mda.org.my/

artikel dari Harian Metro

No comments: