Saturday, 7 February 2009

artikel dari surat kabar... 6 feb 2009

dari sini..


06 Februari, 2009 23:31 PM

Tindakan Luar Batas Budaya Melayu Dan Ajaran Islam

Oleh Syed Azwan Syed Ali dan Azril Annuar

IPOH, 6 Feb (Bernama) -- Tindakan penyokong Pakatan Rakyat membiarkan emosi menguasai diri hingga bertindak biadap, mencela dan menderhaka Sultan Perak ketika berdemonstrasi di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar di sini hari ini adalah di luar batasan budaya Melayu dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Penganalisis politik Prof Dr Azahari Ismail berkata tindakan penyokong Pakatan Rakyat itu, termasuk menghalang kenderaan rasmi Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah menuju ke Istana Iskandariah untuk majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Baru Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai tindakan "menderhaka kepada raja."

Beliau berkata ia jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara kedua iaitu "Kesetiaan Kepada Raja dan Negara" di mana rakyat bernaung di bawah lindungan raja, tanpa mengira bangsa dan agama.

"Ini petanda tak baik. Di mana rasionalnya tindakan demonstrasi itu?

"Adakah mereka ini bertindak secara rasional sebagai orang Melayu atau orang Islam yang disemarakkan dengan emosi seperti orang gila yang tidak terkawal?" katanya kepada Bernama sebagai mengulas insiden demonstrasi selepas solat Jumaat di Masjid Ubudiah, terletak kira-kira 300 meter dari Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.

Azahari berkata bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berserta barisan Exco Pakatan Rakyat sepatutnya patuh kepada titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah supaya mereka meletak jawatan berikutan majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kini berpihak kepada BN.

"Kalau kita percaya kepada kedaulatan undang-undang kenapa bawa ke tepi jalan. Ini kerja orang yang tak sekolah ataupun ada agenda di sebalik tunjuk perasaan ini selain rasa tak puas hati," katanya.

Azahari berkata memang menjadi hak Pakatan Rakyat untuk membawa perkara itu ke mahkamah bagi menyelesaikannya, tetapi menggunakan demonstrasi jalanan tidak akan membawa apa-apa perubahan selain memburukkan imej negara di mata dunia.

Bagi Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, tunjuk perasaan, maki hamun dan merosakkan harta benda, bukan budaya Melayu dan bertentangan dengan ajaran Islam.

"Orang Melayu tak derhaka pada Sultan. Tak maki hamun, tak rosak harta benda orang. Macam mana kita kata memperjuangkan Islam tapi kita buat perkara bercanggah dengan Islam," katanya.

Pensyarah sains politik Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman pula berkata demonstrasi itu berlaku apabila penyokong Pakatan Rakyat tidak dapat menerima keputusan bahawa kerajaan yang mereka pilih tumbang.

"Tapi harus diingat Sultan Perak sudah bertindak secara rasional mengikut peruntukan undang-undang. Tapi mereka hanya melihat ini sebagai komplot menjatuhkan Pakatan Rakyat dan perkara ini tak betul.

"Sultan dah jumpa kedua-dua pihak, Mohamad Nizar dan Datuk Seri Najib Tun Razak (Pengerusi BN Perak). (Sultan Perak) Mendengar sendiri daripada tuan punya badan (tiga ADUN bebas serta 28 ADUN BN) yang terlibat," katanya.

BN pada Rabu mengumumkan mempunyai kerusi DUN majoriti dengan sokongan tiga tiga ADUN Bebas daripada Jelapang (Hee Yit Foong), Behrang (Jamaluddin Mohd Radzi) dan Changkat Jering (Mohd Osman Jailu) yang mengumumkan keluar daripada Pakatan Rakyat.

Sementara ADUN Bota Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat pada 25 Jan lepas kembali semula ke pangkuan Umno pada hari Rabu, menambah kerusi DUN BN kepada 28.

Ahmad Nidzamuddin turut menegaskan adalah mustahil Sultan Azlan Shah yang merupakan bekas Ketua Hakim negara tidak menimbangkan keputusannya secara bijaksana demi kepentingan semua pihak.

Bagi Dr Azahari, situasi hari ini perlu dinilai secara bijak oleh rakyat.

"Biar rakyat nilai dan merenung tapi kalau inilah pilihan rakyat, kalau rakyat tak dapat nilai betapa teruknya situasi ini maka itu pilihan rakyat dan malanglah bagi negara demokrasi seperti kita," katanya.

-- BERNAMA

No comments: