Boikot AS tidak bawa kebuluran
Mega: Ada juga yang skeptikal tentang kesan kempen boikot produk AS yang dijalankan oleh PPIM. Apa pendirian PPIM?
Dr. Maamor: Bagi kita, ada di kalangan masyarakat Islam yang tidak dapat membezakan antara tanggungjawab dan keperluan.
Kita melancarkan boikot ini sebagai tindakan ke atas serangan Yahudi ke atas penduduk awam Palestin yang amat tidak berperikemanusiaan. Seolah-olah mereka boleh melakukan apa yang mereka suka ke atas rakyat Palestin.
Tindakan boikot ini juga dilakukan kerana sejarah membuktikan yang Yahudi ini memusuhi semua tamadun bukan hanya tamadun Islam sahaja.
Inilah yang dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya dalam ayat 120 surah al-Baqarah di atas.
Akhirnya, boikot ini bertujuan meningkatkan ekonomi orang Islam. Selama ini kita banyak menggunakan produk keluaran AS. Sudah sampai masanya untuk kita mengurangkan pergantungan itu dan mencapai tahap mampu diri.
Keadaan ini membuka peluang kepada usahawan tempatan terutamanya Muslim meneroka dalam menghasilkan alternatif bagi produk-produk yang kita boikot itu.
Apabila mencapai tahap pengeluaran yang mampu diri, negara kita akan lebih dihormati. Sebabnya, kita tidak bergantung kepada import makanan dan bahan mentah.
Pada masa yang sama, ia juga meningkatkan tahap keselamatan negara kerana negara mampu hasilkan teknologi, bahan bakar dan sebagainya sendiri. Kalau kita tidak mulakan sekarang sampai bila-bila pun kita tidak ada peluang.
Ada juga yang bimbang kita akan kebuluran jika boikot produk-produk AS. Adakah ini berasas?
DR. MAAMOR: Saya percaya, boikot yang kita lakukan ini tidak sampai membawa kepada kebuluran.
Yang lebih diharap, tindakan ini mendorong umat Islam menyokong produk-produk tempatan. Sebabnya, barang-barang yang kita boikot ini ada penggantinya.
Antaranya ialah dari segi hiburan. Kita berharap masyarakat Islam dan rakyat Malaysia amnya tidak lagi menonton atau menikmati hiburan yang dibawa oleh AS.
Demikian juga dengan petrol. Boikot mengisi minyak kenderaan di syarikat AS sebaliknya kita ada syarikat minyak tempatan iaitu Petronas.
Boikot juga minum di premis mereka seperti Starbuck. Kita ada banyak kedai dan restoran rakyat tempatan sebagai ganti minum di premis tersebut.
Kita yakin, insya-Allah jika tindakan ini berterusan akhirnya Israel dan AS akan akur dengan kesan kuasa ekonomi ini. Sekarang giliran Palestin tetapi apa yang kita takut selepas ini giliran kita pula.
Apa yang berlaku ke atas Palestin ada hikmahnya. Cuma kita perlu bergerak dan mempersiapkan diri membina kekuatan. Jika sebelum ini, kita beranggapan belum tiba masanya sekarang adalah masanya untuk umat Islam bangkit menghapuskan penjajahan dalam bidang ini.
Sebab itu, kita perlu bersiap sedia. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Dan bersedialah untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu. (al-Anfal: 60)
Persiapan ini bukan sahaja dari segi ketenteraan tetapi dalam semua aspek bagi menghadapi serangan musuh-musuh Islam. Pendek kata, umat Islam mesti mampu menjadi saintis yang hebat, sarjana ekonomi yang disegani dan pemimpin dalam segala bidang.
Adakah gerakan boikot ini turut disertai oleh negara-negara jiran?
DR. MAAMOR: Memang PPIM ada berhubung dengan rakan-rakan serantau. Buat pertama kalinya, kita termasuk di Indonesia, Singapura dan Brunei sepakat dalam hal ini.
Baru-baru ini di Indonesia, kita berjaya kumpulkan kira-kira 200,000 orang dan telah kenal pasti produk-produk yang akan diboikot.
Di London pun ada gerakan yang sama oleh para pelajar kita di sana. Malah, minggu lalu saya turut dihubungi oleh radio BBC. Nampaknya mereka sudah mula cemas terhadap tindakan boikot kita.
Saya melihat semua ini sebagai kesan positif kepada perjuangan umat Islam. Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang kamu selagi mana tidak mencintai saudaranya sebagai mana ia mencintai diri sendiri. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Saya suka memberi contoh kisah Nabi Ibrahim. Sewaktu dibakar oleh Namrud, burung pipit mengambil air dengan paruhnya untuk membantu memadamkan api. Perbuatan itu ditegur oleh burung enggang dengan katanya, usaha kau (pipit) itu tidak mampu padamkan api. Pipit menjawab itu benar tetapi aku lebih takut dipersoalkan oleh Allah kelak kerana tidak berbuat apa-apa untuk membantu kekasih-Nya (Nabi Ibrahim).
Gerakan kita umpama air. Semasa kecil ia tidak mampu mengelak debu tetapi apabila tsunami ia mampu mengubah semua. Sementara menunggu tsunami berlaku, kita kena bermula daripada sekarang.
Isu Palestin ini memerlukan sokongan kuasa besar untuk menyelesaikannya. Apakah desakan selanjutnya yang boleh dilakukan oleh PPIM?
DR. MAAMOR: Kita berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh membantu dengan beralih daripada menggunakan khidmat syarikat AS kepada negara lain antaranya China.
Saya dimaklumkan bahawa ada sesetengah produk keluaran China yang dari segi teknikalnya diterima sebagai lebih baik daripada keluaran AS. Demikian juga dengan produk keluaran Jepun. GLC boleh main peranan yang signifikan kerana jumlah kegunaan mereka adalah besar.
Dalam penggunaan tongkang penunda yang digunakan oleh Petronas misalnya, saya difahamkan syarikat dari China menawarkan perkhidmatan pada harga yang satu pertiga lebih rendah daripada syarikat AS. Jadi tak ada sebab mengapa tak mahu beralih kepada China.
Pada masa yang sama, kita juga mendesak agar kerajaan melalui GLC bersikap tegas kepada syarikat-syarikat AS dalam pemberian kontrak dan sebagainya.
Kementerian Pelancongan juga boleh membantu dengan membuat rating semula kedudukan hotel-hotel yang terdapat di Malaysia. Bagi rating yang tinggi kepada hotel-hotel yang mengutamakan produk tempatan.
Sebabnya banyak hotel antarabangsa yang masih menggunakan barangan negara mereka. Untuk itu, kerajaan boleh memilih hanya mengadakan majlis atau acara di hotel-hotel yang ratingnya tinggi dalam penggunaan produk tempatan.
Barangkali kebimbangan paling besar adalah tindak balas AS terhadap boikot ini lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang merudum. Bagaimana mengatasinya?
DR. MAAMOR: Tidak dinafikan kita harus bersedia menghadapi segala kemungkinan. Kita amalkan konsep walak wal barra. Konsep tolong menolong dan saling membantu sesama Muslim dan bertegas kepada golongan kafir.
Sebagai umat Islam kita hendaklah meletakkan pergantungan yang utama kepada Allah. Allah menyebut yang Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.
Sebab itu, kalau kita ada kecenderungan bahawa kekuatan diukur pada bilangan yang ramai kita terjerumus kepada jangkaan yang salah. Begitulah yang berlaku pada perang Badar dan Ahzab. Tentera Islam mencapai kemenangan walaupun bilangannya lebih sedikit berbanding musuh.
Sebaliknya, kita kena yakin dengan janji Allah bahawa kemenangan itu akan diperoleh oleh golongan yang beriman. Golongan kafir pun tahu tentang ini. Sebab itu, sekian lama para orientalis menanamkan doktrin supaya umat Islam sentiasa bergantung kepada AS dan sekutu-sekutunya.
Pendapat mengatakan bahawa dengan menyokong produk tempatan maka pendapatan kerajaan berkurang akibat pengurangan kutipan cukai adalah tidak tepat.
Sebabnya, jika semua orang berbelanja pada jumlah yang sama cuma berpindah daripada produk AS ke produk tempatan ia juga akan meningkatkan perolehan kerajaan. Selain itu, boleh mewujudkan peluang pekerjaan di syarikat-syarikat tempatan.
Soal syarikat multinasional gulung tikar itu hanyalah peralihan.
*************
dari sini
3 comments:
aku setuju..depa ni mmg hati batu betul la... BOIKOT!!
salam kak rizza.thanks again for ur useful entry..boleh sy nak copy&paste kat friendster sy?pastu nak wat link kat SI.sbb semalam ada jg yg pertikaikan pasal boikot ni kat SI tu..
tq kak.
salwa... sila kan la.. ni pun saya c&p dari suratkhabar.. utk ingatan dan juga panduan sesama kita yg baca blog saya... sila kan
Post a Comment