Tahap penyusuan badan rendah di kalangan ibu-ibu
KUALA LUMPUR: Budaya penyusuan badan di kalangan ibu-ibu di Malaysia sangat rendah - hanya 14.5 peratus daripada mereka memberikan susu badan kepada anaknya sehingga berumur enam bulan, menurut statistik Kementerian Kesihatan.Ini disebabkan kejahilan mengenai nilai susu badan, kurang sokongan daripada anggota keluarga dan kakitangan penjagaan kesihatan serta kembali bekerja sebaik saja tamat tempoh cuti bersalin yang diwajibkan.
Sebab utama lain ialah makanan bayi komersial yang ada menggambarkan ia adalah sama jika tidak lebih baik daripada susu badan.
Bagi melindungi, mempromosi dan menyokong amalan penyusuan badan di negara ini, kementerian tersebut merangka satu kod etika produk formula bayi yang berkuatkuasa Ogos lepas.
Kod etika pertama diperkenalkan pada 1979 yang didapati tidak berkesan.
Salinan kod etika terkini diperoleh Bernama di sini hari ini.
Kod itu memberikan garis panduan yang jelas untuk mengawal promosi yang kompetitif dan mengiklankan produk komersial bayi yang mungkin dilihat mengatasi kemampuan susu badan.
Ia juga bertujuan memastikan penggunaan formula bayi sewajarnya, berkaitan produk dan makanan tambahan.
Tujuan utama kod itu ialah terhadap pekilang dan pengedar agar jangan memasarkan, mempromosi atau mengiklankan produk itu dalam cara sebagai mencabar atau mengatasi mutu dan kualiti terbaik susu badan.
Penyelidikan menunjukkan susu badan adalah yang terbaik untuk bayi kerana ia memberikan perlindungan terhadap penyakit dan membantu menjalin hubungan rapat antara ibu dan anak.
Mengenai kod itu yang dikaji semula, jururawat kesihatan kanak-kanak Tan Bee Lan berkata ia satu langkah yang sangat baik kerana syarikat menggunakan ibu yang mengandung, pekerja kesihatan, doktor dan malah kanak-kanak sekolah mempromosikan produk mereka.
“Kini diharap dengan kod yang lebih terkini dan berkesan ini, ibu-ibu janganlah terpengaruh dengan memberikan susu formula kepada bayi mereka,” katanya.
Tan yang bertugas dalam bidang ini selama 30 tahun berkata susu badan secara idealnya hendaklah merupakan satu-satunya sumber makanan untuk bayi sehingga sekurang-kurangnya enam bulan. - Bernama
artikel dari link ini
No comments:
Post a Comment