Sunday 7 September 2008

Susuibu Pelindung....

Pakar Kanak-kanak: Susu ibu pelindung

KAJIAN lebih dua dekad membuktikan susu ibu makanan paling sesuai untuk bayi yang mampu memberi perlindungan daripada penyakit.

Kadar kemasukan ke hospital, jangkitan telinga, cirit-birit, ruam, alahan dan pelbagai masalah perubatan lain di kalangan bayi yang diberikan susu ibu jauh lebih rendah berbanding bayi yang minum susu formula.

Setiap bayi perlu diberi susu ibu enam hingga 12 bulan. Walaupun makanan pejal boleh diperkenalkan apabila bayi berusia empat atau enam bulan, mereka masih perlu diberi susu (badan atau formula).

Sehingga kini tiada saranan masa terbaik memberhentikan pemberian susu badan tetapi selagi bayi makan makanan pejal yang sesuai dengan usianya, seseorang ibu boleh terus menyusukan anak mereka.

Susu manusia untuk anak manusia. Ini yang sering diperkatakan pakar penyusuan bayi. Susu ibu mengandungi jumlah asid lemak, laktosa, air dan asid amino untuk penghadaman, perkembangan otak dan pertumbuhan pada kuantiti tepat.

Susu lembu sebaliknya mengandungi jenis protein yang berbeza daripada susu ibu. Susu ini baik untuk anak lembu dan jika diberi pada bayi, bayi mungkin mengalami masalah menghadamnya.

Bayi yang diberi susu badan kurang jatuh sakit kerana menerima antibodi ibu melalui susu. Hampir 80 peratus susu ibu adalah sel makrofaj iaitu sel yang membunuh bakteria, virus dan fungus.

Ini sebabnya bayi yang diberi susu badan terlindung pelbagai peringkat penyakit, termasuk pneumonia, botulism, bronkitis (keradangan salur udara ke paru-paru), influenza, jangkitan bakteria Staphylococus, jangkitan telinga dan demam campak.

Pada masa sama, badan ibu terus menghasilkan antibodi terhadap apa juga penyakit di sekeliling mereka dan antibodi ini kemudian dipindahkan kepada bayi.

Sistem pencernaan bayi yang diberi susu badan mengandungi banyak Lactobacilus bifidus iaitu bakteria baik yang menghalang pembiakan mikro organisma berbahaya. Selain itu, susu badan yang diberi terus adalah steril, jadi ia dapat mengelak cirit-birit pada bayi.

Lebih istimewa, susu badan mengandungi lebih 100 bahan unik yang tiada pada susu formula. Tiada bayi alah pada susu ibu, walaupun mungkin mengalami reaksi pada makanan tertentu yang diambil si ibu. Bagaimanapun, jika pengambilan makanan itu dihentikan, reaksi dialami bayi hilang dengan sendiri.

Proses penyusuan mempunyai kesan psikologi kerana ia membentuk ikatan antara ibu dan bayi. Ketika lahir, jarak penglihatan bayi hanya 30 hingga 38 sentimeter iaitu jarak antara bayi yang disusukan dengan muka ibunya. Kajian menunjukkan bayi semuda satu minggu lebih suka bau susu ibu.

Ramai pakar psikologi percaya bayi yang disusukan berasa selamat, terutama apabila ada sentuhan kulit ketika proses penyusuan. Ibu bapa yang memberi susu botol kurang memberi sentuhan pada anak ketika disusukan. Sebaliknya, jika diberi susu badan, bayi ada dalam dakapan ibu yang menjadikannya bukan sekadar waktu makan tetapi memberi rasa selesa dan selamat.

Manfaat untuk ibu
- Mudah dan susu boleh diberi pada bila-bila masa. Tidak perlu bangun malam untuk membancuh susu

- Dapat mengurangkan berat badan secara semula jadi

- Penyusuan badan merangsang rahim mengecut ke saiz asal

- Ibu yang menyusukan anak perlu banyak berehat dengan duduk dan letakkan kaki ke atas. Jika ibu memberi susu sambil baring, dia boleh melelapkan mata seketika tanpa memberi masalah pada bayi.

- Ini antara cara semula jadi untuk menjarakkan kehamilan, walaupun ada juga yang hamil ketika ini. Penyusuan yang kerap merencatkan proses penghasilan telur, menjadikan mereka tidak didatangi haid dan dapat mengelak kehamilan.

Jika tidak mahu anak yang rapat, wanita perlu menggunakan kaedah pencegahan kehamilan dalam tempoh ini. Suntikan hormon, implan atau alat dalam rahim adalah selamat dan tidak memberi kesan pada bayi. Bagaimanapun, tidak digalakkan mengambil pil perancang sehingga bayi pisah susu

- Menjimatkan belanja. Walaupun ibu mempunyai selera besar, harga makanan ibu biasanya tidak semahal susu formula. Tanpa belanja, bayi anda menerima khasiat terbaik.

Bila susu formula diperlukan?

Masalah kesihatan biasa seperti selesema, flu, jangkitan kulit atau cirit-birit tidak dipindahkan kepada bayi. Malah, ketika anda mendapat jangkitan ini, badan menghasilkan antibodi yang memberi perlindungan kepada bayi.

Malah, wanita yang menghidap kanser payu dara boleh menyusukan bayi daripada payu dara yang sihat. Walaupun ada kebimbangan penghasilan hormon ketika hamil dan penyusuan boleh membuatkan kanser berulang, sehingga kini tiada bukti mengesahkannya. Kajian sebaliknya menunjukkan penyusuan boleh mengurangkan peluang mendapat kanser payu dara.

Ada beberapa sebab perubatan yang tidak membolehkan ibu memberi susu badan pada bayi iaitu:

- Penghidap HIV positif (kerana virus HIV boleh dipindahkan melalui susu badan)

- Menghidap penyakit lain seperti herpes, hepatitis dan jangkitan streptococus beta. Ia juga boleh dipindahkan melalui susu badan

- Wanita yang menanam implan silikon pada payu dara. Implan tidak menjejaskan wanita menyusukan anak tetapi jika ia bocor, dikhuatiri boleh membahayakan bayi. Wanita begini disaran berbincang dengan doktor sebelum menyusu bayi

Masalah yang mungkin berlaku
- Puting berasa sakit atau luka, terutama pada awal penyusuan

- Saluran susu tersumbat yang boleh menyebabkan mastitis iaitu keradangan pada payu dara (perlu rawatan perubatan)

- Memberi kesan pada gaya hidup wanita. Wanita perlu memakai baju yang membolehkan dia menyusukan anak pada bila-bila masa di mana saja

- Perlu elak makan makanan yang boleh memberi kesan negatif pada bayi- Mesti berhenti merokok kerana ia boleh menyebabkan bayi muntah, cirit-birit dan tidak selesa, selain mengurangkan penghasilan susu

- Perlu rancang waktu bekerja supaya boleh mengepam dan menyimpan susu dalam peti sejuk. Cara lain ialah memberi susu formula kepada bayi dan menyusu anak hanya pada waktu malam dan hujung minggu

- Payu dara sakit dan bengkak kerana terlalu banyak susu

Sesetengah wanita mungkin tidak selesa dengan idea penyusuan badan. Jika ini berlaku, anda boleh mencuba memberi susu badan selama beberapa minggu dan tukar kepada susu formula jika masih tidak selesa.

Jangan beri susu formula dulu kepada bayi kerana sukar menukar susu formula kepada susu badan jika dimulakan sejak awal.

Panduan

- Belajar kaedah betul untuk menyusu anak sebaik selepas bersalin

- Mula dari awal iaitu dalam masa sejam selepas bersalin. Susu awal (kolustrum) penting untuk bayi kerana ia mengandungi banyak antibodi

- Pastikan posisi betul. Mulut bayi perlu terbuka luas dan memasukkan puting sedalam mungkin ke dalam mulutnya untuk mengurangkan kesakitan pada puting ibu

- Bayi perlu disusukan sekurang-kurangnya setiap dua jam. Ini merangsang penghasilan lebih banyak susu dan membentuk jadual penyusuan. Oleh kerana susu ibu mudah dihadam, bayi akan menyusu lebih kerap.

- Bayi tidak memerlukan gula atau makanan tambahan kerana ia boleh menjejaskan selera menyusu dan mengurangkan penghasilan susu ibu. Lebih kerap bayi menyusu, lebih banyak susu dihasilkan

- Lengahkan pemberian puting palsu. Tunggu satu atau dua minggu sebelum memperkenalkan puting palsu kepada anak supaya si kecil tidak keliru

- Biarkan puting kering sendiri (oleh angin). Jika puting sakit atau luka, sapu susu badan untuk melembapkannya. Minyak vitamin E dan lanolin boleh digunakan, tetapi ada bayi yang mungkin alami alahan. Puting sakit kerana kedudukan tidak cukup dalam di dalam mulut bayi

- Perhatikan jika ada jangkitan. Antara gejala jangkitan ialah demam, benjolan dan tompoh merah yang sakit pada payu dara. Segera dapatkan rawatan jika anda ada tanda ini

- Payu dara biasanya bengkak, keras dan sakit kerana terlalu banyak susu. Untuk atasinya atau mengurangkan masalah ini, susui bayi hingga masalah berkurang. Pada masa sama boleh ambil ubat pelega kesakitan, meletakkan kain lembap yang hangat atau mandi air suam

- Makan dan rehat secukupnya untuk menghasilkan susu yang cukup untuk bayi. Makan lebih 500 kalori sehari dan minum enam hingga lapan gelas air

artikel dari Harian Metro

No comments: