Wednesday, 7 November 2007

Masalah berkaitan SUSUIBU... ???

Cara Mengatasi Masalah Yang Berkaitan Dengan Penyusuan Ibu

Berikan yang terbaik untuk bayi anda...

Associate Professor Dr Poh Bee Koon, Nutritionist

Selepas melahirkan anak 5 hari yang lalu, Susan menghadapi masalah menghasilkan susu. Dia telah cuba memerah susu dengan menggunakan pam tetapi masih tidak berjaya. Susan berasa sedih kerana dia memang ingin menyusukan bayinya. Tambahan pula, ini adalah bayi pertama.

Sekiranya anda menghadapi masalah penyusuan ibu, seperti Susan, jangan berputus asa. Doktor-doktor dan pakar pemakanan di seluruh dunia bersetuju bahawa susu ibu adalah paling baik untuk bayi. Susu ibu adalah makanan yang paling lengkap kerana ia membekalkan tenaga dan nutrien yang diperlukan oleh bayi bagi tumbesaran. Ia juga mengandungi antibodi yang dapat melindungi bayi daripada jangkitan seperti cirit-birit, batuk dan selsema.

Seperti ibu-ibu lain, anda juga boleh menghasilkan susu. Proses ini, dinamakan laktasi, bergantung kepada keperluan dan permintaan bayi.

Semasa bayi menghisap, puting anda akan dirangsang. Mesej akan dihantar kepada otak yang akan menghasilkan suatu hormon yang dikenali sebagai prolaktin. Hormon tersebut memulakan penghasilan susu dalam payudara anda. Semakin kerap bayi anda menghisap, semakin banyak hormon prolaktin yang dikeluarkan, dan lebih banyak hormon bererti lebih banyak susu yang terhasil. Apabila bayi menghisap, ini juga akan merangsangkan pengeluaran hormon oksitosin yang menyebabkan susu mengalir keluar (sila rujuk kepada rajah di sebelah).

Susu pertama yang anda hasilkan dikenali sebagai kolostrum. Ia berwarna kekuningan dan mengandungi kandungan lemak yang rendah. Susu kolostrum kaya dengan karbohidrat, protein dan antibodi yang boleh menolong mengekalkan kesihatan bayi.

Masalah-masalah Yang Berkaitan Dengan Penyusuan Ibu:

Masalah 1: “Payudara saya terlalu kecil untuk menghasilkan susu!”

Jangan risau, saiz tidak penting sekali. Walaupun anda mempunyai payudara yang kecil, anda masih boleh menghasilkan susu. Saiz bukan satu faktor yang menentukan proses penghasilan susu.

Masalah 2: “Susu saya mengalir dengan lambat sekali!”

Sekiranya anda rasa pengaliran susu anda terlalu lambat, ini mungkin disebabkan oleh refleks yang dikenali sebagai “let-down” refleks. Ini adalah refleks yang memastikan susu anda mengalir semasa bayi menghisap. Apa yang berlaku ialah apabila anda berasa letih atau bimbang, refleks ini akan terjejas. Ini mungkin menjelaskan mengapa pengaliran susu anda lambat. Oleh itu, sebelum anda menyusukan bayi, cuba bertenang dan berehat supaya anda tidak akan mempengaruhi refleks itu.

Masalah 3: “Puting saya rasa sakit!”

Semasa bayi anda menghisap dalam kedudukan yang salah, puting anda mungkin akan berasa sakit. Yang penting sekali ialah anda tahu kedudukan dan cara penyusuan yang betul. Keseluruhan puting dan bahagian sekelilingnya (areola) patut dimasukkan ke dalam mulut bayi. Selain daripada itu, anda juga boleh memperolehi ubat dari doktor untuk melegakan sakit anda. Jangan memakai coli sekiranya anda masih rasa sakit. Jika keadaan serius, minta nasihat dari doktor atau pakar.

Masalah 4: “Payudara saya bengkak!”

Payudara anda boleh menjadi bengkak disebabkan oleh terlalu banyak susu yang terkandung di dalamnya. Dalam hal ini, anda boleh memerah keluar sedikit susu terlebih dahulu.Cuba urut payudara anda dengan perlahan-lahan. Anda juga boleh menggunakan tuala untuk memanaskan payudara anda atau tambahkan kekerapan menyusukan bayi anda.

Masalah 5: Saluran susu anda tersekat.

Payudara anda mengandungi 15 hingga 20 saluran yang menghantar susu kepada puting. Jadi, jika salah satu saluran itu tersekat, ia boleh menyebabkan satu ketulan dan menjejaskan pengeluaran susu. Dalam situasi ini, apa yang anda perlu buat ialah:
Biarkan bayi anda menghisap pada payudara yang tersekat.
Sebelum penyusuan, urutkan bahagian yang tersekat dan panaskannya supaya saluran dapat mengalirkan susu.
Anda juga boleh memerah susu dengan menggunakan tangan atau pam.

Masalah 6: Anda mengalami mastitis.

Saluran susu yang tersekat boleh menyebabkan infeksi mastitis. Anda perlu berjumpa dengan doktor. Mastitis boleh dirawat dengan antibiotik. Biasanya, anda masih boleh menyusukan bayi. Ia tidak akan membawa kesan buruk kepada bayi. Walau bagaimanapun, payudara anda akan berasa sakit ketika menyusukan bayi.

Masalah 7: “Saya perlu bekerja!”

Mungkin anda rasa anda tidak akan dapat menyusukan bayi apabila bekerja semula. Sebenarnya, anda boleh memerah susu dan menyimpannya selama 3 hari dalam peti sejuk. Pengasuh bayi boleh memberikan susu yang telah diperah kepada bayi walaupun anda tidak berada di rumah.

Masalah 8: “Bayi saya tidak mahu menghisap susu!”

Anda harus bersabar jika bayi anda tidak mahu menghisap susu atau menangis dengan tidak hentihenti. Jangan berasa cemas dan menghentikan pemberian susu ibu kerana adalah normal bagi bayi anda mengalami fasa ini.
Sekiranya ia berlaku kepada bayi anda, cuba cari punca kepada masalah itu dan cara mengatasinya.

Cuba tanya diri anda:

Adakah bayi sakit kebelakangan ini?
Sekiranya bayi sakit, dia akan hilang selera.

Adakah anda berasa terlalu letih atau bimbang?
Peringatan: keletihan dan kebimbangan boleh mempengaruhi refleks “letdown” anda. Dengan itu, cuba lebihkan rehat. Sebelum menyusukan bayi, anda boleh berbaring dan minum minuman panas.

Adakah bayi anda enggan menghisap susu pada waktu siang?
Kebanyakan bayi adalah lebih aktif pada waktu siang. Oleh itu, mereka tidak dapat menumpukan perhatian terhadap penyusuan. Jika demikian, cuba susukan bayi anda dalam keadaan yang lebih tenang dan sunyi. Satu lagi penjelasan ialah bayi anda mungkin berasa terlalu panas dan kurang selesa.

Adakah bayi anda menghisap sekejap sahaja dan seterusnya menangis?
Bayi anda perlu sendawa. Oleh itu, cuba menyusukan bayi anda dalam kedudukan yang betul dan selesa.

Adakah bayi menghisap untuk seketika dan seterusnya menangis?
Jangan berasa terlalu risau. Dia mungkin berasa kurang sabar dengan pengaliran susu anda. Apabila ini berlaku, bayi hanya boleh menangis. Mungkin anda boleh cuba menyusukan bayi anda semasa dia masih mengantuk dan tidak akan berasa kurang sabar.

Masalah 9: “Bagaimana saya tahu bayi mendapat susu yang mencukupi?”

Sekiranya anda tidak pasti, anda boleh membawa bayi kepada doktor untuk memeriksa berat badannya. Doktor akan menimbang berat badan bayi sebelum dan selepas penyusuan ibu untuk memastikan berapa auns yang dihisap.

Jika anda masih berasa ragu-ragu, rujuklah kepada garis panduan ini:

  • Dalam satu hari, bayi anda akan kencing sebanyak 6 hingga 8 kali. Warna air kencing seharusnya kuning muda.
  • Bayi anda juga akan membuang air besar sekurang-kurangnya dua kali sehari. Najis bayi yang diberi susu ibu biasanya kelihatan kekuningan.
  • Setelah 2 minggu dilahirkan, berat badan bayi anda akan meningkat. Dalam 3 bulan yang pertama, bayi anda akan bertambah berat badan sebanyak 4 hingga 7 auns (120-200 gram) setiap minggu.

Jika anda masih bimbang, anda boleh:

  • Makan dengan baik.
  • Minum banyak cecair seperti air kosong, susu atau jus buah-buahan.
  • Cuba rehat sebelum dan selepas penyusuan ibu.
  • Sebelum menyusu bayi, urutkan payudara anda.
  • Akhir sekali, lebih yakin pada diri anda!
  • Ingat! Apabila bayi anda menyusu dengan lebih kerap, anda akan menghasilkan lebih banyak susu!

linl>>>http://mypositiveparenting.org/bm/nutrition-bm.htm#

2 comments:

Anonymous said...

salam akak,

sy dpt link akak dr web susuibu. saya 1st time mom & niat nak breastfeed sampai anak 2 tahun. tgh duk baca entry2 akak pasal menyusu ni :)

keep it up!

Rizza said...

salam siti...

selamat dtg..n selamat berjaya menyusukan baby ...

semua info untuk dikongsi bersama sesapa saja yg nak cari ilmu ...