Pertuturan Dan Bahasa : Pembangunan Lisan Anak Anda
Keupayaan bertutur dan kemahiran bahasa anak anda adalah satuanugerah semula jadi. Namun, anda boleh membantu mengasahbakatnya dengan cadangan berikut.
Oleh Cik Woo Pei Jun, Pakar Psikologi
Kebanyakan kanak-kanak belajar bertutur semasa kecil tanpa sebarang pendidikan formal. Manusia memang dilahirkan untuk bercakap dan keupayaan ini sesungguhnya adalah satu anugerah untuk anak anda. Meskipun bayi tidak dilahirkan dengan keupayaan untuk terus bercakap, mereka menggunakan tangisan dan gerak-geri untuk menyampaikan maksud dan kemahuan. Mereka juga dapat menerima mesej yang anda cuba sampaikan dengan memahami bahasa isyarat dan gerak-geri anda.
Kebanyakan kanak-kanak melafazkan perkataan pertama pada usia antara 12 dan 18 bulan. Apabila mencapai usia 4 hingga 5 tahun, mereka mula menggunakan ayat yang lebih kompleks. Dalam usia prasekolah, anak anda seharusnya sudah dapat memahami dan menguasai bahasa dengan baik dan mampu berinteraksi dengan kanak-kanak sebaya.
Bagaimanapun, sebagai ibu bapa, anda harus faham bahawa setiap kanak-kanak melalui tahap pembangunan lisan yang berbeza. Seorang kanak-kanak mungkin dapat melafazkan perkataan pertama pada usia 10 bulan, manakala seorang lagi mungkin melakukannya pada usia 20 bulan.
Membantu Anak Anda Menguasai Kemahiran Bertutur
Usah bimbang jika anak anda lambat bertutur. Sebagai ibu bapa, anda boleh memainkan peranan penting untuk membantu anak anda menguasai kemahiran bertutur. Perkara pertama yang perlu anda sedari ialah kanak-kanak belajar pada kadar yang berbeza. Ada yang cepat belajar, ada pula yang lambat menerima ajaran. Untuk mula mengajar anak anda, anda tidak boleh membuat penilaian berasaskan kelajuan tetapi sebaliknya memastikan sama ada pembangunan lisan anak anda berjalan dengan lancar.
Cara anda bercakap dengan anak anda akan menentukan kemahirannya untuk menguasai bahasa. Ini sangat penting dalam lima tahun pertama.
Ingatlah perkara berikut:
• Proses menyeronokkan. Jangan paksa anak anda belajar dengan lebih cepat daripada biasa atau mengenakan tekanan ke atas proses pembelajaran. Proses pembelajaran seharusnya menyeronokkan bagi anda berdua.
• Bercakap seperti biasa. Ingatlah, anda bercakap dengan seorang yang ternyata bukan pada tahap yang sama dengan anda. Jadi, bercakaplah seperti biasa dengan cara semula jadi yang boleh difahami dan diterima oleh anak anda.
• Dengar apa kata anak anda. Beri perhatian kepada apa yang diperkatakan oleh anak anda dan dengar bunyi butir kata-kata yang keluar daripada mulutnya. Dengan cara ini, anda dapat menjawab dengan lebih baik dan membantunya menambah kemahiran.
• Jadikan pembelajaran proses yang menyeronokkan. Pembelajaran seharusnya dijadikan satu proses yang menyeronokkan, bukan menyusahkan. Lakukan aktiviti yang bukan sahaja mengajar anak anda tetapi juga menyeronokkan anda berdua. Sebagai contoh, baca buku cerita bersama dan berkomunikasi dengan cara yang menyeronokkan supaya anak anda lebih berminat untuk belajar.
• Jaga tutur kata dan bahasa. Jika anda mahu anak anda belajar dengan betul, anda perlu menjaga tutur kata dan bahasa semasa bercakap di rumah. Tabiat buruk akan menjadi contoh yang pasti menjadi teladan dan ikutan anak-anak.
Satu nasihat penting – jangan beri terlalu banyak tumpuan kepada “masalah” (seperti bunyi sebutan). Sebutan tidak betul adalah isu biasa. Lama-kelamaan, kebanyakan kanak-kanak akan dapat menyebut perkataan dengan betul. Bagaimanapun, jika anak anda menunjukkan tanda sukar untuk bertutur atau mengambil masa yang lebih lama daripada biasa untuk belajar bertutur, dapatkan nasihat pakar pertuturan, bahasa dan pendengaran kanak-kanak.
Lebih lagi cadangan oleh Persatuan Pertuturan-Bahasa-Pendengaran Amerika:
Buat buku skrap tentang benda biasa atau kegemaran anak anda dengan menggunting gambar. Semak buku skrap bersama anak anda dan namakan semua benda di dalamnya atau bincangkan tentang setiap gambar.
Luaskan perbendaharaan kata dengan menamakan anggota badan dan mengenal pasti apa yang dilakukan. Sebagai contoh, katakan “Ini hidung saya. Saya boleh menghidu bau bunga, biskut, bertih jagung dan sabun.”
Galakkan anak anda bertutur dengan memuji segala percubaannya untuk bercakap. Tunjukkan kepada anak anda bahawa anda memahaminya dengan menunaikan permintaannya, jika wajar.
Galakkan anak anda memberi arahan.
Nyanyikan lagu yang mudah dan senandung kanak-kanak bersama anak anda untuk menunjukkan ritma dan corak pertuturan.
artikel dari sini la....
1 comment:
Good article..thanks to the publisher.
Saya sekadar ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan keadaan/perkembangan pertuturan anak perempuan saya yang berumur hampir 4 tahun.
Anak saya 'pelat' berbahasa walaupun ibubapa berbahasa biasa/tidak pelat bila becakap dengannya. Saya notis beliau sukar untuk menyebut sebutan-sebutan tertantu spt s, d, n (selalu menjadi 'ng') dan lain-lain lagi. Saya amnya mendapati beliau kurang bercakap dgn betul berbanding kawan-kawan seusia dengannya.
Saya perlukan bimbingan lanjut agar dia dapat mengatasi masalah pertuturan pada usianya sekarang.
Pandangan tuan/puan amatlah dihargai.
Post a Comment